Pages

Islamic Widget

Perbaharuilah Iman setiap saat dan ketika

Bismillah, wassolatu wassalamu'ala rosulillah
Hazrat Abu Hurairah r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sentiasalah memperbaharui iman kamu”. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kami memperbaharui iman kami, wahai Rasulullah?”. Baginda s.a.w. bersabda, “Perbanyakkan ucapan LAAILAHA ILLALLAH. [Hadith Riwayat Imam Ahmad]

Dalam satu riwayat, baginda Rasulullah s.a.w bersabda, “Iman akan lusuh seperti mana pakaian menjadi lusuh. Oleh itu hendaklah kamu sentiasa memohon kepada Allah supaya Allah memperbaharui iman kamu. Maksud iman menjadi lusuh ialah dengan kemaksiatan yang dilakukan maka kekuatan iman dan nur iman akan pudar.

Dalam sebuah hadith diterangkan bahawa apabila seseorang hamba melakukan kemaksiatan maka lahirlah di hatinya satu tanda hitam. Sekiranya dia bertaubat dengan sebenar-benar taubat maka tanda hitam itu akan lenyap, jika tidak tanda itu akan terus kekal. Apabila dia melakukan lagi dosa yang kedua maka lahirlah tanda yang kedua dan demikianlah seterusnya sehingga hati menjadi hitam dan berkarat. Kemudian keadaan hati itu akan berubah sama sekali sehingga perkataan yang benar tidak lagi akan memberi kesan kepada hatinya.

Diterangkan dalam sebuah hadith bahawa empat perkara yang akan merosakkan hati manusia:
  1. Berbahas dengan orang jahil
  2. Melakukan banyak dosa
  3. Banyak bergaul dengan wanita yang bukan muhram
  4. Sering duduk bersama dengan orang yang mati. Baginda ditanya “Siapakah yang dimaksudkan dengan orang yang mati?” Jawab Baginda s.a.w “Setiap orang yang kaya menjadi sombong dengan hartanya.”

[Hadith dari Fadhilat Zikir]